fb fb fb fb fb

Lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Lubok Subong

Seorang lelaki berusia 20 tahun dikhuatiri lemas selepas bermandi-manda bersama rakanya petang tadi/Foto Bomba Sarawak

LUBOK ANTU, 30 Ogos - Seorang lelaki berusia 20 tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Lubok Subong, Sri Aman di sini dalam satu kejadian tengahari tadi.

Mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Fandi Wong Mohd Awang Wong.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai berkaitan kejadian tersebut pada 1.59 tengahari.

"Mangsa sedang bermandi-manda di sungai tersebut bersama dua orang rakannya sebelum kejadian berlaku.

"Selepas selesai mandi, mangsa dan dua rakannya cuba menyeberangi sungai, namun secara tiba-tiba arus deras menghanyutkan mangsa sehingga tenggelam," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan dengan bantuan penduduk kampung, menggunakan dua buah perahu dan sebuah jetski untuk membuat pencarian di permukaan air.

SAR ditangguhkan pada pukul 5.30 petang dan akan disambung semula pada pukul 7 pagi esok.

GRACE AISYAH KEDAYAN