LABUAN, 20 April- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM58.8 juta kepada lebih 6,000 golongan asnaf di Labuan bagi tahun 2025.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM39 juta diperuntukkan bagi Bantuan Sara Hidup sepanjang tahun, manakala RM19.8 juta lagi bagi Bantuan Keperluan Barangan Asasi.
Menurut Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, bagi Bantuan Persediaan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini sahaja, sebanyak RM6.02 juta telah disalurkan.
Jelas beliau, inisiatif tersebut diharap dapat meringankan beban asnaf serta memastikan mereka tidak terpinggir daripada arus pembangunan masyarakat.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Tautan Kasih Aidilfitri MADANI 2025 anjuran MAIWP di Labuan, hari ini.
Majlis yang dihadiri lebih 5,000 asnaf, termasuk 1,200 ketua isi rumah itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib, pemimpin masyarakat, serta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.
Sebagai tambahan, sebanyak RM40,000 turut diagihkan sebagai duit raya kepada 2,000 anak-anak asnaf yang hadir.