KUALA LUMPUR, 23 Mac - Lebih 80% banduan dan tahanan imigresen sudah menerima vaksin COVID-19, setakat ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berkata kementerian menyasarkan kesemua kumpulan itu menerima suntikan vaksin dalam masa terdekat.
(Jonathan Yasin pada sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini)
Menurutnya, sejumlah 86.5% atau 60,760 banduan di penjara seluruh negara sudah menerima vaksin setakat 14 Februari lalu.
"Statistik Jabatan Penjara sehingga 14 Februari lalu menunjukkan seramai 70,283 banduan di penjara. Daripada jumlah itu, 60,760 banduan atau 86.5% telah menerima vaksin dan seramai 9,543 atau 13.5% sahaja yang belum menerima vaksin.
"Manakala di Jabatan Imigresen menunjukkan setakat 23 Februari lalu, terdapat 16,896 tahanan di depot imigresen dan depot imigresen sementara di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 13,902 atau 82.3% tahanan menerima vaksin dan hanya 2,994 atau 17.7% saja belum mendapat vaksin," katanya ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Penyataan itu bagi menjawab soalan wakil Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.