SARIKEI, 18 Mei - Lebih 200 pelajar dan juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Muda Pakeri Paloh, terpaksa menggunakan kantin dan asrama untuk dijadikan sebagai bilik kelas sementara.
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir. Yusuf Abdul Wahab berkata, ini susulan bangunan kelas sekolah itu dilaporkan mengalami kerosakan dari aspek sturuktur dan persekitarannya.
Oleh itu, beliau berharap proses untuk membina semula bangunan yang rosak dapat segera dilaksanakan untuk persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih selamat.
"Keadaan sekolah itu bukan sahaja menyebabkan rasa tidak selamat dalam kalangan murid dan guru malah menyulitkan proses pengajaran dan pembelajaran.
"Peruntukan yang telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjumlah RM17 juta telah dimaklumkan kepada saya pada sidang parlimen yang lepas, untuk baik pulih membina blok darjah, blok cikgu, rumah guru di SK Orang Kaya Muda Pakeri Paloh yang baharu.
"Jadi saya menyambut baik berita ini dengan harapan pihak pendidikan, jabatan pendidikan mempercepatkan pembinaan projek tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Outreach Santuni Komuniti di Dewan Kampung Selalang, Sarikei.
Oktober tahun lalu, beliau pernah melawat sekolah yang sama dan menggesa pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan KPM agar mempercepatkan baik pulih bangunan yang terjejas dengan kerosakan.
Malah menurut beliau, sturuktur dan persekitaran bangunan sekolah itu diklasifikasikan sebagai tidak selamat oleh pihak forensik JKR.
SK Orang Kaya Muda Pakeri Paloh antara satu-satunya sekolah yang terdekat untuk penduduk Kampung Paloh, Kampung Kedang dan Berangan yang mana mempunyai enam buah rumah panjang.
Kesemua penempatan tersebut jauh dari kawasan lain dan hanya dapat dihubungi melalui sungai.