fb fb fb fb fb

Lebih 19,000 guru bersara awal, profesion perguruan di titik kritikal

Foto hiasan / Guru Sekolah Rendah Seri Budiman UPSI gembira menjalankan aktiviti bersama murid.

TANJUNG MALIM, 22 Ogos - Isu lebih 19,000 guru sekolah rendah dan menengah yang bersara awal sejak 2022, memberi gambaran jelas bahawa profesion perguruan berdepan krisis motivasi dan kesejahteraan yang serius.

Pengarah Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Kama Shaffeei menegaskan fenomena itu bukan sekadar statistik tenaga kerja, sebaliknya amaran bahawa profesion keguruan kini berada pada tahap kritikal.

“Fenomena guru bersara awal ini memberi isyarat jelas bahawa profesion perguruan sedang berdepan cabaran besar. Namun masih belum terlambat untuk bertindak. Dengan memperkukuhkan sokongan emosi, meningkatkan latihan profesional, menggerakkan kempen kesedaran masyarakat serta melibatkan universiti sebagai rakan strategik, kita mampu memastikan guru terus kekal bermotivasi dan dihargai,” katanya.

Menurutnya, kajian UPSI sebelum ini menunjukkan lima faktor utama mendorong guru bersara awal. Ia meliputi bebanan kerja berlebihan, tekanan pentadbiran, persekitaran sosial tidak sihat, persepsi masyarakat terhadap guru dan tahap kecekapan kendiri.

Justeru, beliau menggesa semua pihak mengambil langkah proaktif bagi mempertahankan profesion keguruan dan memastikan generasi muda terus mendapat bimbingan daripada tenaga pengajar berpengalaman.

TUN JULIA MOHD TAHIR