fb fb fb fb fb

Lawatan sempena Aidilfitri, keluarga dibenar lawat penghuni penjara pada raya ketiga, keempat

Keluarga penghuni penjara dibenar membuat lawatan sempena Aidilfitri pada raya ketiga dan keempat membabitkan semua institusi penjara, Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 3 April - Keluarga penghuni penjara dibenar membuat lawatan sempena Aidilfitri pada raya ketiga dan keempat membabitkan semua institusi penjara, Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney.

Jabatan Penjara memaklumkan keutamaan lawatan diberi kepada penghuni beragama Islam dan seorang penghuni penjara hanya dibenarkan untuk menerima sekali lawatan daripada keluarga.

"Keluarga yang memilih kaedah bersemuka perlu mematuhi syarat antaranya waktu lawatan bermula dari 8.15 pagi hingga 4.15 petang dan membuat ujian RT-PCR atau ARTK-Ag (swab/saliva) dengan sah laku tiga hari selepas pengambilan sampel dan tidak bergejala sebelum hadir ke institusi berkenaan.

“Selain itu, pelawat tertakluk kepada Akta dan Peraturan Penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar dari penjara,” menurut Jabatan Penjara menerusi kenyataan.

Jabatan Penjara memaklumkan lawatan perjumpaan hanya dibenar kepada pelawat yang membuat janji temu melalui tempahan iaitu Sistem i-Visit di www.prison.gov.my, panggilan telefon dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan.

“Pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat,” menurut kenyataan itu.

Selain kaedah bersemuka, perjumpaan secara panggilan video juga dibenarkan pada 14 hingga 16 April ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN