SINGAPURA, 30 Januari- Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pagi tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memulakan lawatan rasmi dengan menghadiri majlis sambutan di Istana kira-kira pukul 11.10 pagi.
Pada majlis itu, Datuk Seri Anwar diberi penghormatan untuk memeriksa kawalan kehormat, seterusnya menandatangani buku pelawat.
Beliau turut menyertai majlis menamakan spesies orkid hibrid sebagai 'Dendrobium Anwar Azizah' bersempena dengan nama Perdana Menteri dan isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Sejurus itu, Perdana Menteri membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Halimah Yacob diikuti pertemuan empat mata bersama rakan sejawatnya Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
Perdana Menteri Lee menjadi tuan rumah untuk acara jamuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar di Istana.
Pada pertemuan hari ini, kedua-dua pemimpin akan menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan di samping mengukuhkan lagi hubungan yang akan memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua negara.
Kedua-dua perdana menteri itu juga akan menyaksikan pemeteraian tiga perjanjian persefehaman bagi Mempromosikan Kerjasama dalam Data, Keselamatan Siber dan Ekonomi Digital serta dua Kerangka Kerjasama dalam Ekonomi Digital dan Ekonomi Hijau.
Selepas itu Anwar meninggalkan Istana untuk bertemu dengan diaspora Malaysia yang berada di republik itu, sebelum dijadualkan pulang ke tanah air petang ini.
ARTIKEL BERKAITAN
PM tiba di Kota Singa untuk lawatan kerja rasmi sehari
Perdana Menteri adakan Lawatan Rasmi esok ke Singapura
Singapura, Malaysia bakal meterai MOC dalam ekonomi digital, hijau - Tengku Zafrul