Pendakwah bebas disyaki seleweng dana NGO disambung reman

FOTO HIASAN

SEREMBAN, 26 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan memperoleh kebenaran menyambung reman seorang pendakwah bebas yang disyaki menyeleweng dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah kira-kira RM12.3 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perintah reman terhadap suspek sehingga 1 Mei dikeluarkan oleh Majistret Nurul Saqinah Rosli di Mahkamah Majistret Seremban.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, kata Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail.
  • Suspek disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana NGO untuk kepentingan peribadi. SPRM akan memanggil 14 hingga 15 saksi.

Perintah reman sehingga 1 Mei terhadap suspek berusia lingkungan 30-an dikeluarkan Majistret Nurul Saqinah Rosli di Mahkamah Majistret Seremban hari ini.

Permohonan dibuat susulan tempoh reman asal suspek tamat hari ini.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Pendakwah bebas itu ditahan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana sebuah NGO untuk kepentingan peribadi.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya akan memanggil 14 hingga 15 saksi bagi membantu siasatan kes tersebut.- BERNAMA