
KUALA LUMPUR, 26 April – Polis sedang mengesan seorang wanita yang dipercayai mendera anak kandungnya berusia tiga tahun dalam kejadian di Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.
- Laporan diterima daripada nenek mangsa yang tinggal serumah pada Sabtu.
- Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 8 malam awal Mac selepas pengadu terdengar tangisan cucu.
- Suspek dikenal pasti ibu kandung; motif disiasat; mangsa dibawa untuk pemeriksaan doktor.
Ketua Polis Daerah Gombak, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan daripada nenek kepada kanak-kanak lelaki itu yang tinggal serumah pada Sabtu.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 8 malam awal Mac lalu apabila pengadu terdengar tangisan cucunya yang disyaki didera.
“Siasatan juga mendapati suspek merupakan ibu kandung mangsa dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa telah dibawa untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Amirul Ashyraf Abu Hassan di talian 019-3491233 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di 03-61262222 bagi membantu siasatan.