
KUCHING, 26 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak terus memperkukuh penguatkuasaan menerusi Ops Statik apabila berjaya menggagalkan dua cubaan penyelewengan diesel berjumlah 760 liter di sini, pada Jumaat.
- Rampasan pertama: kira-kira 160 liter diesel dalam 16 tong daripada sebuah pacuan empat roda; kenderaan dan dokumen disita; nilai rampasan RM20,854.
- Rampasan kedua: kira-kira 600 liter diesel bernilai RM1,290 ditemui; pam elektrik dan dua hos kecil disita; nilai rampasan RM31,540.
- Dua lelaki tempatan lingkungan 30-an ditahan; kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, dalam kes pertama, pihaknya merampas kira-kira 160 liter disyaki diesel bernilai RM344 yang disimpan dalam 16 tong hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Menurut beliau, kenderaan serta dokumen berkaitan turut disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM20,854.
“Dalam kes kedua, sebuah kenderaan utiliti sukan dikesan dalam keadaan mencurigakan di lokasi sama sebelum pemeriksaan lanjut menemukan kira-kira 600 liter disyaki diesel bernilai RM1,290,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, sebuah pam elektrik serta dua unit hos kecil yang dipercayai digunakan untuk kerja pemindahan bahan api turut disita, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bagi kes kedua dianggarkan RM31,540.
Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.