
SHANGHAI, 21 September – Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China dari 22 hingga 24 September bukan sekadar meneruskan hubungan diplomatik dan perdagangan, sebaliknya turut memperluas kerjasama Malaysia-China ke bidang baharu antaranya pendidikan, TVET, teknologi dan ekonomi digital.
- Pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri China Li Qiang untuk memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif serta membincangkan AI, tenaga hijau, semikonduktor, ECRL dan projek Twin Parks.
- Perdana Menteri diberi penghormatan menyampaikan ucaptama pada pembukaan WorldSkills Shanghai 2026, menonjolkan komitmen Malaysia dalam pembangunan modal insan dan kemahiran.
- Sebagai Country of Honour di GDTE Hangzhou, Malaysia diberi peluang perniagaan digital dan Perdana Menteri menyampaikan ucaptama pada ekspo itu.
Lawatan kerja ke China ini merupakan lawatan keempat Datuk Seri Anwar ke China, sekali gus mencerminkan kesinambungan hubungan rapat Malaysia-China yang terus berkembang daripada kerjasama tradisional kepada bidang strategik baharu.
Lawatan ini turut memberi tumpuan kepada penyertaan Perdana Menteri bersama delegasi Malaysia dalam 48th WorldSkills Shanghai 2026 di Shanghai pada 22 dan 23 September serta 5th Global Digital Trade Expo (GDTE) di Hangzhou pada 24 September.
Kedua-dua platform berkenaan dilihat menjadi antara pengisian penting kepada kerjasama Malaysia-China yang kini berkembang melangkaui bidang tradisional seperti diplomasi, perdagangan dan pelaburan, termasuk dalam pendidikan, kemahiran, teknologi maklumat serta ekonomi digital.
Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad berkata, lawatan berkenaan juga penting dalam meneruskan kesinambungan hubungan dua hala yang semakin akrab antara Kuala Lumpur dan Beijing.
“Signifikannya pertama, meneruskan kesinambungan hubungan Malaysia-China. Ini mencerminkan keakraban kerana dalam tempoh kebelakangan ini semua pemimpin tertinggi Malaysia telah mengadakan lawatan rasmi ke China.
“Kedua, memulakan kerjasama dalam bidang-bidang baharu di luar bidang tradisional, seperti pendidikan, TVET, kemahiran dan AI,” katanya.
Bagaimanapun, tumpuan utama lawatan kali ini adalah pertemuan dua hala Perdana Menteri dengan Perdana Menteri China, Li Qiang di Hangzhou, yang turut disusuli jamuan makan malam yang dihoskan pemimpin China itu.
Pertemuan berkenaan akan menjadi antara pengisian penting dalam memperkukuh hubungan Malaysia-China di bawah kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif, selain menyokong aspirasi kedua-dua negara membina komuniti strategik bertaraf tinggi dengan masa depan bersama.
“Antara perkara yang dijangka diberi perhatian termasuk usaha meneruskan momentum perdagangan dua hala, kerjasama teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau, semikonduktor dan ekonomi digital, selain beberapa projek serta inisiatif strategik yang menghubungkan kedua-dua negara,” katanya.
Perbincangan turut dijangka menyentuh cadangan penyambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, yang berpotensi meningkatkan kesalinghubungan dan pembangunan ekonomi, selain pelaksanaan menaik taraf projek ‘Two Countries’, ‘Twin Parks’ susulan pemeteraian memorandum persefahaman pada 17 April 2025.
Turut menjadi agenda ialah pengisian inisiatif Presiden China, Xi Jinping termasuk ‘Global Development Initiative’ (GDI), ‘Global Civilization Initiative’ (GCI) serta inisiatif tadbir urus global.
Penyertaan Malaysia dalam WorldSkills Shanghai juga merupakan antara pengisian kepada inisiatif berkenaan, selain membuka ruang lebih luas kepada kerjasama dalam pembangunan modal insan dan kemahiran.
Di Shanghai, Datuk Seri Anwar akan menghadiri majlis pembukaan WorldSkills Shanghai 2026 dan diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama.
Datuk Norman berkata, Perdana Menteri merupakan satu-satunya ketua kerajaan yang diberikan penghormatan menyampaikan ucaptama pada majlis pembukaan WorldSkills berkenaan.
“Untuk WorldSkills memang seorang sahaja, penghormatan itu diberikan kepada Perdana Menteri sahaja,” katanya.
Malaysia merupakan ahli WorldSkills International sejak 1992, dengan kontinjen negara kali ini seramai 82 orang yang menyertai 21 daripada 64 bidang yang dipertandingkan.
Chef de Mission Malaysia kali ini ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, manakala Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan turut hadir dalam kontinjen Malaysia.
Selain WorldSkills, Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan perjumpaan dengan syarikat perniagaan serta menghadiri sesi meja bulat bersama kapten industri di Shanghai.
Sesi dijangka melibatkan kira-kira 20 kapten industri dari seluruh China.
Sesi berkenaan dikendalikan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE), dengan perincian syarikat yang terlibat akan diumumkan kemudian.
Dari Shanghai, Perdana Menteri akan meneruskan perjalanan ke Hangzhou dengan menaiki kereta api berkelajuan tinggi, yang mengambil masa kira-kira sejam.
Di Hangzhou, selain pertemuan dua hala dengan Li Qiang dan jamuan makan malam, Datuk Seri Anwar akan menghadiri majlis perasmian 5th Global Digital Trade Expo (GDTE) dan menyampaikan ucaptama.
Malaysia turut diberi penghormatan sebagai Country of Honour bersama Hungary, dalam penyertaan sulung negara di ekspo berkenaan.
Menurut Norman, di GDTE, hanya dua pemimpin diberi penghormatan menyampaikan ucaptama iaitu Perdana Menteri Malaysia dan wakil Hungary.
“Cuma di GDTE di Hangzhou, ada dua iaitu Malaysia dan Hungary. Memang privilege untuk PM,” katanya.
GDTE yang dianjurkan sejak 2022 oleh Kementerian Perdagangan China (MOFCOM) dan Kerajaan Wilayah Zhejiang menjadi platform untuk mengetengahkan perkembangan perdagangan digital serta membuka ruang kepada kerjasama dan peluang perniagaan antara Malaysia dengan China.
Selain itu, Datuk Seri Anwar turut dijadualkan melancarkan edisi Bahasa Mandarin buku “Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times” di Hangzhou.
Dalam pada itu, lawatan tersebut turut memberi ruang kepada Malaysia dan China memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu, khususnya AI, tenaga hijau, semikonduktor dan ekonomi digital.
Malaysia turut dijangka meneruskan penglibatan dalam kerjasama berkaitan World ArtificialIntelligence Cooperation Organization (WAICO) selepas menjadi antara negara anggota pengasas organisasi itu pada Ogos lalu.
Dalam masa sama, kerjasama antarabangsa dalam membanteras penipuan telekomunikasi dan siber serta menangani jenayah rentas sempadan turut disenaraikan sebagai antara isu yang diberi perhatian.
Perbincangan juga akan merangkumi penglibatan Malaysia dalam BRICS serta hasil Sidang Kemuncak BRICS di New Delhi baru-baru ini.
Lawatan ini turut menjadi sebahagian daripada persiapan ke arah penglibatan Perdana Menteri dalam APEC Leaders’ Summit di Shenzhen pada November ini.
Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Johari Abdul Ghani, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selain pegawai kanan kerajaan daripada Wisma Putra, MITI, Majlis Keselamatan Negara dan agensi berkaitan.
Nilai perdagangan dua hala Malaysia-China bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 direkodkan sebanyak RM456.68 bilion, bersamaan AS$113.82 bilion, dengan China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia untuk tahun ke-17 berturut-turut.