KUALA LUMPUR, 9 Disember – Orang ramai tidak perlu bimbang untuk melaporkan sebarang kesalahan yang melibatkan rasuah, kerana pemberi maklumat dan saksi dilindungi oleh undang-undang.
Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia, Tan Sri Musa Hassan berkata mereka dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696).
“Di bawah undang-undang kita ada dua akta yang memberi perlindungan kepada pemberi maklumat dan juga saksi, iaitu Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009.
"Akta-akta ini memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat, termasuk mereka yang melaporkan tentang majikan atau rakan sekerja berkenaan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Tambah Musa, perlindungan yang diberikan bukan hanya untuk pemberi maklumat dan saksi, tetapi juga melibatkan perlindungan terhadap keluarga mereka.