fb fb fb fb fb

Lantikan Pengerusi baharu mampu bawa PPZ-MAIWP  ke arah lebih cemerlang

Dato’ Sri Amrin Awaluddin/ Foto PPZ-MAIWP

KUALA LUMPUR, 15 Mei- Dato’ Sri Amrin Awaluddin dilantik sebagai Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) yang baharu berkuatkuasa 23 April 2024 hingga 14 Februari 2026. 

PPZ-MAIWP menerusi satu kenyataan memaklumkan pelantikan tersebut dilakukan selepas Dato’ Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman menamatkan perkhidmatannya pada 9 Februari lalu.

Dato’ Sri Amrin, 58 tahun, yang berpengalaman lebih 30 tahun di sektor korporat memulakan kariernya di institusi perbankan sebelum memegang beberapa jawatan penting di beberapa syarikat seperti Renong Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad dan Putera Capital Berhad.

Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Sime Darby Properties Berhad, Boustead Holdings Berhad dan Kumpulan Syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Beliau yang juga Pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari University of Hull, England merupakan ahli Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA), UK dan Akauntan Bertauliah Institut Akauntan Malaysia (MIA). 

Pelantikan beliau yang berpengalaman luas dalam sektor korporat dan kewangan dilihat mampu membawa PPZ-MAIWP ke arah yang lebih cemerlang.

ROSLINA BINTI DIN