
MIRI, 8 Januari – Laluan utama masuk ke Kampung Tarahad, Bekenu selamat digunakan selepas kejadian tanah runtuh di kampung itu berikutan hujan berterusan sejak awal pagi tadi.
- Laluan utama masuk Kampung Tarahad selamat digunakan selepas pembersihan runtuhan dan pokok tumbang.
- Tiada korban atau pemindahan penduduk dilaporkan; runtuhan disebabkan hujan lebat beberapa hari.
- Bomba, Sesco Sarawak dan kontraktor MBM bekerjasama membersihkan laluan dan memastikan keselamatan kabel elektrik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah ,Pegawai Bomba Tinggi ll Rary Binjie memaklumkan, pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung pada pukul 9.59 pagi yang melaporkan runtuhan di lereng bukit setinggi kira-kira 40 kaki yang turut mengakibatkan pokok tumbang dan jatuh menimpa kabel elektrik.
“Sepasukan anggota digerakkan ke lokasi sejauh 43 kilometer Dari Balai dan tiba pada pukul 10.42 pagi sebelum memulakan operasi pembersihan tiga minit kemudian.
“Runtuhan menyebabkan susur tanah dan pokok tumbang seterusnya menimpa kabel elektrik di jalan utama menuju Kampung Tarahad Serta Tiada korban atau kecederaan dilaporkan,” katanya kepada RTM hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa tiada pemindahan penduduk dilakukan dan runtuhan tanah terbabit dipercayai berpunca daripada taburan hujan yang tinggi sejak beberapa hari lalu.
Sepasukan bomba dengan kekuatan enam anggota bersama sebuah jentera menjalankan penilaian situasi sebelum bekerjasama dengan Sesco Sarawak dan kontraktor Majlis Bandaraya Miri (MBM) bagi membersihkan halangan dan memastikan keselamatan kabel elektrik di kawasan terjejas.
Operasi berkenaan turut disertai enam anggota Sesco dan enam wakil kontraktor Majlis Bandaraya Miri.