
KUALA LUMPUR, 8 Januari- Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menggesa peminjam agar melunaskan bayaran balik pinjaman bagi mengelakkan sekatan perjalanan ke luar negara.
- PTPK gesa peminjam melunaskan balik pinjaman untuk elak sekatan perjalanan ke luar negara.
- Kira-kira 200,000 peminjam masih gagal membayar sejak tahun 2000.
- Sekatan bertujuan lindungi dana latihan kemahiran dan jamin keadilan serta kelestarian dana.
- PTPK akan beralih sepenuhnya ke permohonan pembiayaan dalam talian bermula esok.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, setakat ini, kira-kira 200,000 peminjam direkodkan masih gagal membuat pembayaran sejak tahun 2000.
Beliau menegaskan sekatan itu bukan bertujuan menghukum, sebaliknya bagi memastikan dana pembiayaan latihan kemahiran dapat dimanfaatkan secara berterusan oleh generasi akan datang.
“Ada peminjam yang mempunyai kemampuan tetapi memilih untuk tidak membayar balik. Apabila bayaran tidak dibuat, ia bukan sahaja memberi kesan kepada dana, malah menjejaskan peluang pelatih pada masa hadapan,” katanya.
Ramanan berkata, langkah sekatan itu juga bertujuan memperkukuh penguatkuasaan di bawah Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 (Akta 640) terhadap peminjam yang gagal melunaskan bayaran balik.
Langkah berkenaan, katanya, dapat menjamin keadilan dalam pengurusan dana awam selain menghargai peminjam yang komited memenuhi tanggungjawab mereka.
Sementara itu, beliau memaklumkan PTPK akan beralih sepenuhnya kepada sistem permohonan pembiayaan secara dalam talian bermula esok.
“Sistem pendigitalan ini akan mengambil kira penilaian tertentu termasuk pematuhan standard pusat latihan serta rekod bayaran balik peminjam sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata langkah itu dijangka meningkatkan kecekapan perkhidmatan, tadbir urus dan kelestarian dana pembiayaan latihan kemahiran negara.
Ramanan berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat PTPK di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia, di sini.