
SEPANG, 8 Januari– Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia menawarkan tiket penerbangan tambang tetap sempena perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
- AirAsia sediakan tambang tetap RM328 ke Sarawak untuk Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri sempena perayaan.
- Tambang tetap RM398 ditawarkan untuk penerbangan ke Sabah termasuk Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
- Inisiatif melibatkan 1,578 penerbangan dan lebih 31,000 tempat duduk bagi tempoh dua perayaan.
- Program baucar FLYSiswa RM400 diteruskan untuk membantu pelajar beli tiket penerbangan domestik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata inisiatif berkenaan bertujuan memastikan rakyat Malaysia dapat pulang ke kampung halaman dengan tambang mampu milik sekali gus membenarkan laluan udara dapat diakses oleh ramai orang.
“Menerusi inisiatif berkenaan, AirAsia akan menyediakan penerbangan tambahan dengan tambang tetap RM328 bagi laluan ke Sarawak melibatkan destinasi Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri.”
“Selain itu, tambang RM398 ditawarkan bagi penerbangan ke Sabah merangkumi Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau,” katanya ketika ditemui pemberita dalam satu majlis pelancaran, di sini.
Sepanjang tempoh dua perayaan itu, inisiatif tambang tetap berkenaan menawarkan sebanyak 1,578 penerbangan secara keseluruhan dengan lebih 31,000 tempat duduk.
Tempahan tiket untuk perayaan TBC dibuka mulai hari ini hingga 24 Februari untuk perjalanan antara 13 hingga 24 Februari 2026 manakala tempahan bagi Hari Raya Aidilfitri, dibuka mulai hari ini hingga 26 Mac bagi perjalanan antara 18 hingga 26 Mac depan.
Sementara itu, program baucar, FLYSiswa bernilai RM400 yang diteruskan tahun ini dijadual akan dilaksana pada minggu hadapan.
Jelasnya, kerajaan komited menyokong inisiatif berkenaan, dalam membantu meringankan kos perjalanan pelajar yang berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Sabah-Sarawak.
Pelajar yang layak akan menerima baucar digital dalam bentuk kredit simpanan untuk pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi sehala atau dua hala dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MASwings.