B15 kurangkan penggunaan diesel petroleum

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Pelaksanaan adunan biodiesel B15 telah menjimatkan secara purata 23.62 juta liter diesel berasaskan petroleum sebulan bagi tempoh Jun hingga Ogos.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan B15 memperkukuh keselamatan tenaga negara dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api petroleum.
  • Kedudukan Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit memberi kelebihan dari segi ketersediaan bahan mentah berterusan.
  • Penggunaan biodiesel mengurangkan pendedahan kepada turun naik harga petroleum dan membantu pengurusan subsidi diesel.
  • Pelaksanaan B15 berasaskan bukti teknikal dan saintifik termasuk kajian serta ujian lapangan oleh MPOB untuk kesesuaian kenderaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pelaksanaan berkenaan merupakan antara inisiatif kerajaan memperkukuh keselamatan tenaga negara serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api petroleum.

“Kedudukan Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit dunia memberikan kelebihan dari segi ketersediaan bahan mentah secara berterusan.

“Dari aspek ekonomi dan keselamatan tenaga, penggunaan biodiesel tempatan dapat mengurangkan impak pendedahan negara kepada turun naik harga petroleum, khususnya ketika berlaku ketegangan geopolitik.

“Keadaan ini berpotensi membantu kerajaan menguruskan perbelanjaan subsidi diesel dengan lebih berkesan”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun di Bangunan Parlimen.

Datuk Seri Aminuddin meminta penjelasan mengenai sejauh manakah pelaksanaan biodiesel B15 dapat mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada diesel petroleum yang terdedah kepada ketidaktentuan harga akibat konflik geopolitik, khususnya di Asia Barat.

Mengulas mengenai impak penggunaan biodiesel terhadap keselamatan dan prestasi kenderaan, Datuk Seri Dr Noraini berkata pelaksanaan B15 dibuat berdasarkan bukti teknikal dan saintifik.

Ia termasuk pelaksanaan kajian dan ujian lapangan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi memastikan kesesuaiannya terhadap kenderaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.