
SEPANG, 28 Mac – Laluan baharu penerbangan terus antara Malaysia dan Timor-Leste dilihat mampu memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara, khususnya dalam konteks kerjasama serantau ASEAN.
- Pembukaan laluan menyumbang kepada pembangunan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Timor-Leste dan Malaysia.
- AeroDili akan mengendalikan laluan dua kali seminggu dengan Airbus A319 berkapasiti 122 penumpang.
- Keterhubungan penerbangan dijangka merangsang pelaburan, perdagangan, pelancongan serta hubungan antara rakyat.
- Penerbangan sulung AeroDili tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 dan pelancaran disertai Tourism Malaysia, MAHB serta Pos Aviation.
Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Kerjasama Republik Demokratik Timor-Leste, Dr Bendito Dos Santos Freitas berkata, pembukaan laluan tersebut bukan sahaja merapatkan hubungan, malah menyumbang kepada pembangunan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
“Dalam tempoh lima bulan lalu, Timor-Leste secara rasmi menjadi ahli penuh ASEAN sebagai anggota ke-11.
“Kini, kita melangkah ke arah memperkukuh kerjasama dalam aspek keterhubungan, khususnya perkhidmatan penerbangan yang penting untuk merangsang pelaburan, perdagangan, pelancongan serta hubungan antara rakyat,” katanya.
Syarikat penerbangan AeroDili akan mengendalikan laluan tersebut dengan kekerapan dua kali seminggu menggunakan pesawat Airbus A319-100 berkapasiti 122 penumpang, sekali gus memudahkan perjalanan bagi tujuan perniagaan dan pelancongan antara Dili dan Kuala Lumpur.
Pelancaran laluan berkenaan turut mencerminkan keyakinan berterusan terhadap Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan dan hab penerbangan utama di Asia Tenggara, selari dengan usaha memperkukuh jaringan antarabangsa.
Penerbangan sulung AeroDili dari Dili selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 hari ini, sekali gus membuka ruang baharu kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
Turut hadir, wakil Tourism Malaysia, AeroDili, Malaysia Airports Holdings Berhad dan Pos Aviation.
Terdahulu, Timor-Leste secara rasmi memohon menyertai ASEAN pada 2011 sebelum direalisasikan menerusi Majlis Menandatangani Deklarasi Penyertaan Timor-Leste ke ASEAN pada Oktober lalu.
Deklarasi tersebut ditandatangani semua 11 pemimpin negara anggota yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.