BDR sesuai dilaksana secara sementara, pendekatan hibrid lebih praktikal – Pakar

FOTO HIASAN / BERNAMA

SHAH ALAM, 28 Mac – Pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) dilihat relevan dan praktikal, khususnya sebagai langkah sementara ketika berdepan situasi krisis.

RINGKASAN BERITA AI
  • BDR berpanjangan boleh menjejaskan kesejahteraan psikososial pekerja; pendekatan berperingkat atau hibrid dicadangkan.
  • Model hibrid seperti tiga hari WFH dan dua hari pejabat memberi keseimbangan serta membantu isu disiplin, kepercayaan dan pengurusan prestasi.
  • BDR menjimatkan kos petrol, tol dan operasi pejabat sambil mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memastikan perkhidmatan diteruskan.

Pensyarah Kanan Pengurusan Sumber Manusia Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Zuhaina Mustapa berkata, pengalaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 membuktikan kaedah itu berkesan dalam meningkatkan fleksibiliti serta memastikan kelangsungan operasi organisasi.

Menurut beliau, BDR juga membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas selain membolehkan perkhidmatan kepada orang awam diteruskan menerusi jadual kerja fleksibel dan tugasan berperingkat.

“Kaedah ini sesuai sebagai langkah sementara, khususnya dalam situasi krisis. Kita telah melihat keberkesanannya ketika PKP, yang menunjukkan banyak kelebihan termasuk dari segi fleksibiliti dan kecekapan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pelaksanaan secara jangka panjang perlu mengambil kira aspek kesejahteraan pekerja bagi mengelakkan kesan psikososial.

“Sekiranya dilaksanakan secara berpanjangan, ia boleh memberi kesan psikososial kepada pekerja. Justeru, pendekatan secara berperingkat atau hibrid lebih sesuai,” katanya lagi.

Menurut beliau, pendekatan hibrid seperti tiga hari bekerja dari rumah dan dua hari di pejabat dilihat lebih seimbang, selain membantu menangani cabaran berkaitan disiplin, kepercayaan majikan dan pengurusan prestasi pekerja.

Tambahnya, pelaksanaan BDR juga mampu menjimatkan kos kepada pekerja dan majikan termasuk perbelanjaan petrol, tol serta kos operasi pejabat.

Pensyarah Kanan Pengurusan Sumber Manusia Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Zuhaina Mustapa