
ALOR SETAR, 16 Julai – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited memastikan semua usahawan tanpa mengira kaum mendapat akses kepada pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan serta bersaing di peringkat lebih tinggi.
- Peruntukan pembiayaan RM60 bilion akan disalurkan kepada PMKS tahun ini.
- Meningkatkan peruntukan dana pembiayaan termasuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional dan Pakej Modal Usahawan Rangsangan Ekonomi India 2026.
- Had maksimum pembiayaan BERKAT dinaikkan daripada RM30,000 kepada RM100,000.
- Mengurangkan birokrasi, sasaran keputusan pembiayaan bawah RM1 juta dalam 14 hari, TEKUN mikro bawah RM20,000 sasaran 24 jam.
Bagi merealisasikan hasrat itu, peruntukan pembiayaan sebanyak RM60 bilion akan disalurkan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tahun ini.
Menterinya, Steven Sim berkata dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu akibat ketegangan geopolitik, kerajaan mahu memastikan setiap usahawan mempunyai akses kepada pembiayaan bagi mengembangkan perniagaan.
“Kementerian turut meningkatkan peruntukan pelbagai dana pembiayaan termasuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional dan Pakej Modal Usahawan dan Rangsangan Ekonomi India 2026.
“Ia bagi memastikan lebih ramai usahawan daripada semua kaum mendapat akses kepada modal untuk mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya ketika berucap merasmikan Taklimat Pembiayaan dan Akses Pasaran PMKS dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kedah (KCCCI) di sini.
Pada masa sama, beliau turut mengumumkan had maksimum pembiayaan Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (BERKAT) dinaikkan daripada RM30,000 kepada RM100,000.
“Kementerian turut memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kerenah birokrasi supaya usahawan yang memerlukan pembiayaan tidak lagi berdepan proses permohonan yang mengambil masa terlalu lama,” jelas beliau.
Beliau menetapkan sasaran supaya permohonan pembiayaan di bawah RM1 juta melalui Bank Rakyat dan SME Bank diputuskan dalam tempoh 14 hari.
Manakala bagi pembiayaan mikro TEKUN di bawah RM20,000 pula, kementerian itu sedang melaksanakan satu program rintis dengan sasaran kelulusan dalam tempoh 24 jam.