3,640 permohonan kewarganegaraan di Sabah dalam pertimbangan KDN

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah / RTM

KUALA LUMPUR, 16 Julai- Sebanyak 3,640 permohonan kewarganegaraan di Sabah masih dalam proses pertimbangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) setakat 31 Mei lalu, manakala 10 lagi permohonan telah diluluskan dan sijil kewarganegaraan diserahkan kepada pemohon.

RINGKASAN BERITA AI
  • KDN menambah baik SOP permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A, 15(2) dan 19(1 dengan tempoh pemprosesan setahun dari penerimaan dokumen lengkap.
  • Pendaftaran lewat kelahiran kini diterima di semua pejabat JPN dan melalui Program MEKAR.
  • Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Sabah dijangka bermesyuarat hujung Julai atau awal Ogos bagi mempertimbangkan 1,018 permohonan.
  • Kuasa keputusan pendaftaran lewat kelahiran diturunkan kepada JPN negeri bagi mempercepatkan proses pertimbangan dan penyelesaian kes.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata bagi pendaftaran lewat kelahiran di Sabah pula, sebanyak 2,659 permohonan telah diluluskan, manakala 611 lagi masih dalam proses.

“KDN telah menambah baik prosedur operasi standard )SOP) bagi permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A, Perkara 15(2) dan Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan dengan menetapkan tempoh pemprosesan selama setahun bermula daripada tarikh penerimaan dokumen lengkap sehingga keputusan dimuktamadkan,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, bagi pendaftaran lewat kelahiran, permohonan kini boleh diterima di semua pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara serta melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR).

Tambah beliau, Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan peringkat Sabah dijangka bermesyuarat pada hujung Julai atau awal Ogos ini bagi mempertimbangkan 1,018 permohonan.

Katanya, kuasa membuat keputusan bagi permohonan pendaftaran lewat kelahiran turut diturunkan kepada JPN negeri bagi mempercepatkan proses pertimbangan dan penyelesaian kes.

KDN juga memperkukuh kerjasama strategik antara JPN dengan kerajaan negeri, pemimpin komuniti, hospital, sekolah, agensi kebajikan serta pertubuhan bukan kerajaan bagi mengenal pasti individu yang masih belum memiliki dokumen pengenalan diri dan membantu mereka melengkapkan dokumen sokongan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.