SEPANG, 10 Mei- Kumpulan kelima jemaah haji yang membabitkan 284 jemaah telah berlepas ke tanah suci petang tadi.
Rata-rata ahli keluarga jemaah yang ditemui berharap mereka yang terpilih mendapat haji yang mabrur dan berjalan lancar.
"Hari ini datang sini nak hantar mak untuk pergi haji. Ini kali pertamalah hantar mak pergi haji, semoga mak dapat haji mabrur, semoga semuanya berjalan lancarlah, insya-Allah," kata ahli keluarga, Nur Diyana Afiqah Ruslan.
"Semoga mak saya selamat pergi dan baliklah, saya doakan," kata ahli keluarga, Yasmin Anuar.
"Kita doa pada Allah SWT supaya kita sihat tubuh badan. Tak lupa juga kita bagi nasihat kepada anak-anak menantu supaya di sana berdoalah untuk adik-beradik semua supaya adik-beradik yang belum lagi ke Tanah Suci ini dijemput Allah SWT pada masa akan datang, insya-Allah," kata ahli keluarga, Abdullah Taib.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Gerakan, Operasi Haji Tanah Air TH, Mohd Zawawi Bostam mengingatkan jemaah untuk mendapatkan rehat yang secukupnya.
"Kita nasihatkan jemaah haji supaya dapat lebih berehatlah sebelum pergerakan penerbangan sebab memang betul, walaupun kita mungkin bersedia tapi memang perjalanan mengambil masa yang agak lama dan pada lewat malam. Jadi kita harapkan jemaah-jemaah haji dapat tidur ataupun rehat secukupnya sebelum berlepas," katanya.
Sementara itu, Pegawai Perubatan, Mohd Saiful Md Rosli menasihatkan jemaah untuk mematuhi arahan Tabung Haji dari semasa ke semasa.
"Ikut arahan itu paling penting supaya operasi berjalan lancar dan bagi mereka yang mengambil ubat seperti ubat kencing manis dan darah tinggi... perlu makan ubat mengikut jadual yang disarankan," kata Mohd Saiful.