
KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Kualiti udara di beberapa kawasan di seluruh negara menunjukkan sedikit kemerosotan, khususnya di Sarawak susulan pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.
- Beberapa kawasan Sarawak merekodkan bacaan IPU tinggi, termasuk Serian, Kuching, Samarahan, Sibu, Mukah, Bintulu, Samalaju, Miri, Sarikei, Sri Aman.
- Bukit Rambai, Melaka juga merekodkan bacaan tidak sihat, menunjukkan peningkatan berbanding bacaan pagi.
- Pemantauan JAS: 57 kawasan pada tahap sederhana dan 11 kawasan pada tahap tidak sihat; bacaan dikemas kini setiap jam.
- Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka dan segera melaporkan kebakaran kepada Bomba (999) atau JAS (1-800-88-2727).
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon daripada jumlah itu, 10 kawasan membabitkan Sarawak, iaitu IPD Serian merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu 195, diikuti Kuching 187 dan Samarahan 178.
“Sarikei dan Sri Aman masing-masing merekodkan bacaan 174, Sibu 163, manakala Mukah 157, Bintulu dan Samalaju pula masing-masing mencatatkan bacaan 156, sementara itu Miri pula merekodkan bacaan 144,” katanya ketika dihubungi RTM.
Satu lagi kawasan yang merekodkan bacaan tidak sihat ialah Bukit Rambai, Melaka, dengan bacaan IPU 152 menunjukkan peningkatan berbanding 151 pada pukul 9.00 pagi tadi.
Berdasarkan pemantauan JAS pada pukul 2.00 petang tadi, 57 kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala 11 kawasan merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat.
JAS terus memantau keadaan kualiti udara secara berterusan, dengan bacaan IPU dikemas kini setiap jam menerusi laman sesawang rasmi JAS dan aplikasi MyJAS EQMS.
Dalam keadaan cuaca kering dan berangin ketika ini, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.
Sebarang kebakaran atau aktiviti pembakaran terbuka hendaklah segera dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerusi talian 999 atau JAS di 1-800-88-2727, selain menggalakkan orang ramai memainkan peranan dalam memastikan kualiti udara negara terus terpelihara.