
KUALA LUMPUR, 22 Ogos- Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Taiwan adalah berdasarkan pendirian rasmi Malaysia terhadap Dasar Satu China yang telah diamalkan sejak era Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.
- Fahmi: pendirian Malaysia mengenai Taiwan tidak berubah, kekal selari dengan pendirian rasmi Wisma Putra.
- Beliau membidas tuduhan PAS bahawa kenyataan Perdana Menteri menyusahkan kedudukan diplomatik negara.
- Fahmi persoal PAS lantang isu luar negara tetapi bisu mengenai laporan RCI Tabung Haji yang dedah kelemahan dan kerugian pengurusan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pendirian Malaysia mengenai isu berkenaan tidak pernah berubah dan kekal selari dengan pendirian Wisma Putra.
“Pendirian Malaysia mengenai isu tersebut adalah sejak zaman Almarhum Tun Abdul Razak dan pendirian kita (Malaysia) tidak pernah berubah.
“Perdana Menteri hanya menyatakan apa yang konsisten dengan pendirian Wisma Putra. Jadi, tidak ada perubahan ataupun perbezaan dalam hal itu,” katanya ketika ditemui pada Program Kenduri Rakyat MADANI di sini hari ini.
Beliau membidas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menuduh kenyataan Perdana Menteri dalam temu bual media antarabangsa, Al Jazeera baru-baru ini meletakkan negara pada kedudukan diplomatik yang sukar serta menyempitkan ruang diplomasi.
Dalam wawancara berkenaan, Datuk Seri Anwar berkata beliau melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada China. “Ia adalah satu China. Ia diterima oleh semua.”
Menzahirkan kekesalan terhadap sikap parti pembangkang itu, Menteri Komunikasi itu turut mempersoalkan tindakan PAS yang bersuara lantang dalam isu luar negara, namun memilih untuk membisu berhubung isu tempatan membabitkan kepentingan umat Islam seperti Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Beliau berkata laporan RCI berkenaan telah membongkar kerosakan dan ketidakcekapan pengurusan akaun serta pelaburan institusi berkenaan antara 2014 hingga 2017, termasuk kerugian melibatkan jutaan ringgit.