
KANGAR, 22 Ogos – Rumah ibadat yang didirikan secara haram di Perlis dinasihatkan supaya berunding dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu berkenaan dan mengelakkan tindakan lanjut.
- Kerajaan negeri tidak menghalang pembinaan kuil jika mematuhi syarat dan dibina di lokasi yang sesuai.
- Jawatankuasa rumah ibadat disarankan berunding dengan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu dan elak tindakan lanjut.
- Tindakan penguatkuasaan diambil selepas notis dan kegagalan mematuhi undang-undang; mufti tekankan ia berasaskan undang-undang, bukan sentimen.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, kerajaan negeri tidak menghalang pembinaan kuil sekiranya ia mematuhi syarat serta dibina di lokasi yang bersesuaian.
“Kita tidak menghalang sekiranya pembinaan kuil itu menepati syarat ataupun di tempat yang sesuai.
“Saya rasa ini satu keputusan yang sesuai untuk diambil iktibar oleh seluruh warga, selain menghormati keputusan dan undang-undang,” katanya selepas menghadiri Program Info On Wheels di Kangar Jaya Mall hari ini.
Beliau berkata, selain Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, terdapat beberapa lagi kuil yang didirikan secara haram di sekitar negeri itu.
Katanya, jawatankuasa rumah ibadat terbabit disarankan hadir berunding dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Menurutnya, isu pencerobohan rumah ibadat itu telah berlarutan sekian lama dan pelbagai notis sudah dikeluarkan sebelum penguatkuasa merobohkan kuil berkenaan.
“Tindakan itu diambil selepas pihak kuil gagal mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya.
Semalam, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, kuil yang dirobohkan di Bukit Lagi perlu dilihat dari sudut pematuhan undang-undang dan bukan untuk membangkitkan sentimen politik atau perkauman.
Mohd Asri berkata, tindakan penguatkuasaan itu berlandaskan undang-undang sah.