Liga Super: TFC benam Melaka FC 3-0

Foto TERENGGANU FC

KUALA NERUS, 23 Ogos – Terengganu FC (TFC) membuka kempen Liga Super 2026/2027 dengan langkah kanan apabila menewaskan Melaka FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, malam Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Terengganu tampil agresif dan menguasai sebahagian besar perlawanan.
  • Gervane Kastaneer menjaringkan dua gol manakala Victor Ruiz Abril menambah satu gol.
  • Ketua jurulatih Mohd Nafuzi gembira, puji persiapan singkat dan prestasi pemain baharu.

Skuad Penyu tampil agresif sejak awal permainan dan menguasai sebahagian besar perlawanan.

Terengganu FC membuka jaringan pada minit ke-12 menerusi penyerang, Gervane Kastaneer.

Usaha Terengganu terus membuahkan hasil apabila Victor Ruiz Abril menggandakan kelebihan pada minit ke-45.

Memasuki separuh masa kedua, Terengganu terus mengatur gerakan bagi menambah jaringan.

Kastaneer hampir mencetak gol kedua pada minit ke-54, namun percubaannya berjaya dinafikan penjaga gol Melaka FC, Khairul Fahmi Che Mat.

Melaka FC kemudian cuba bangkit dan hampir merapatkan kedudukan pada minit ke-67, namun percubaan mereka sekadar terkena tiang gol.

Terengganu bagaimanapun terus mengawal permainan sebelum Kastaneer sekali lagi mencipta jaringan menerusi gerakan menarik.

Kemenangan tiga gol tanpa balas itu menyaksikan Terengganu FC meraih tiga  mata penuh pada aksi pembukaan Liga Super Malaysia musim ini.

Sementara itu, ketua jurulatih TFC, Mohd Nafuzi Mohd Zain gembira dengan kemenangan skuad Penyu dan prestasi anak buahnya.

“Bukan senang untuk mendapat kemenangan kerana majoriti merupakan pemain baharu. Kami pun melakukan persiapan yang singkat. Kemenangan ini adalah suatu yang positif dan membanggakan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.