Malaysia-Brunei perkukuh kerjasama, selesaikan isu tertangguh

Foto BERNAMA

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos – Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam Ke-27 (ALC-27) menjadi medan untuk memperkukuh kerjasama dalam menyelesaikan beberapa isu demi manfaat kedua-dua negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Isu persempadanan berlarutan: 50% selesai, jawatankuasa teknikal akan meneliti baki tuntutan untuk diselesaikan sebelum hujung tahun atau tahun hadapan.
  • MoU pengurusan bencana dimeterai untuk memperkukuh kerjasama dalam kesiapsiagaan dan tindak balas antara kedua-dua negara.
  • Perjanjian menyelesaikan pengiktirafan ijazah Universiti Brunei Darussalam bagi pelajar Malaysia supaya kelulusan diakui bersama.

Antara isu yang dibincangkan termasuk pertindihan sempadan antara kedua-dua negara yang telah tertangguh sekian lama, kerjasama dalam pengurusan bencana, pendidikan, maritim serta usaha untuk meningkatkan lagi kerjasama ekonomi.

Mengenai isu persempadanan yang telah berlarutan selama lebih 60 tahun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, 50 peratus daripada isu berkenaan telah berjaya diselesaikan.

Manakala baki isu yang berpunca daripada pertindihan tuntutan akan diteliti secara terperinci oleh jawatankuasa teknikal yang telah dibentuk.

Beliau menyasarkan isu berkenaan dapat diselesaikan sebelum hujung tahun ini atau selewat-lewatnya tahun hadapan.

“Ada persefahaman awal yang baik, iaitu kawasan-kawasan yang dipersetujui sebagai milik Brunei dan milik Sarawak, Malaysia, itu dipertahankan. Atas semangat itu, kita tidak lagi harus menangguhkan persefahaman.

“Saya akan meminta kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah supaya kedua-dua Menteri Luar segera mengadakan pertemuan dengan pasukan masing-masing agar pertindihan tuntutan itu dapat dileraikan secepat mungkin.

“Ini kerana kaedah asal, iaitu persempadanan yang memberikan pengesahan tentang hak milik Brunei dan hak milik Malaysia, tidak akan kita korbankan.

“Kita akan menjaga kepentingan masing-masing dan kepentingan negara supaya penyelesaian itu memberikan manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengakhiri lawatan kerja ke Brunei sempena Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam Ke-27 di Bandar Seri Begawan.

Sempena rundingan tersebut, Perdana Menteri dan Sultan Hassanal Bolkiah turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan pengurusan bencana antara kedua-dua negara.

Mengulas isu pengiktirafan ijazah pendidikan di Universiti Brunei Darussalam untuk anak-anak Malaysia yang menuntut di universiti itu, beliau berkata, kedua-dua negara juga bersetuju untuk menyelesaikannya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.