fb fb fb fb fb

Kru VNT cedera, Maritim Malaysia Perak laksana MEDEVAC

Bunkrong, 59 tahun, warganegara Thailand dilaporkan cedera semasa sedang melakukan rutin kerja harian di atas VNT

IPOH, 24 Disember- Seorang kru vesel nelayan tempatan (VNT) mengalami kecederaan pada kaki kanan ketika kapal berkenaan berada di kedudukan 53 batu nautika barat laut Pulau Pangkor.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob dalam kenyataan memaklumkan, susulan itu Maritim Malaysia Negeri Perak melaksanakan pemindahan perubatan (MEDEVAC) lelaki itu.

"Lelaki berkenaan dikenali Bunkrong, 59 tahun, warganegara Thailand dilaporkan cedera semasa sedang melakukan rutin kerja harian di atas VNT pada Isnin kira-kira pukul 7.40 pagi.

"Mangsa dipindahkan dari VNT ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Kampung Acheh sebelum dibawa ke Hospital Seri Manjung kira-kira pukul 12.10 tengah hari untuk menerima rawatan lanjut," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI