fb fb fb fb fb

KPWKM tegas PAWE bukan pusat jagaan, perlu daftar bawah Akta 506

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 November – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan penyedia perkhidmatan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) seperti pusat jagaan harian atau kediaman perlu menukar pendaftaran mereka di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata PAWE tidak dibenarkan berfungsi sebagai pusat jagaan kerana peranan dan pengoperasiannya berbeza, iaitu tertumpu kepada penyediaan aktiviti rekreasi, sosial dan pembelajaran bagi menggalakkan warga emas hidup secara berdikari.

“Dalam hal ini, pendaftaran PAWE tidak membolehkan mereka mengoperasikan pusat jagaan. Namun begitu, ahli PAWE boleh bergerak secara kreatif membantu komuniti setempat dalam mengisi kelompangan penjagaan atau mengatasi fenomena kesunyian, seperti menyantuni dan meneman warga emas yang tinggal sendirian di rumah masing-masing.

“Bagi menggalakkan lebih banyak PAWE ditubuhkan, KPWKM telah melaksanakan penambahbaikan melalui Program Pemerkasaan Warga Emas atau PAWE@3A (Anywhere, Anytime, Anyplace) bermula tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Nancy, Akta 506 menetapkan beberapa keperluan penting termasuk penyediaan penjaga terlatih, kemudahan yang mencukupi serta pematuhan nisbah ruang lantai dengan jumlah penghuni bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan warga emas.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 193 PAWE kini beroperasi di seluruh negara, memberi manfaat kepada lebih 50,000 warga emas menerusi pelbagai aktiviti sihat dan bermanfaat seperti senaman, program keagamaan serta latihan celik digital.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN