fb fb fb fb fb

KPPK mohon peruntukan lebih bagi pemuliharaan alam sekitar

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 31 Julai- Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) merancang memohon lebih banyak peruntukan di bawah Bajet 2023 menyokong misi pemuliharaan alam sekitar.

Hasrat tersebut selaras komitmen Malaysia merealisasikan sasaran yang ditetapkan menerusi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jelas Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin menerusi satu kenyataan, kementeriannya telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan pertumbuhan sektor perladangan yang mampan.

"KPPK juga komited menyangkal kritikan dari Barat bahawa Malaysia tidak mematuhi piawaian alam sekitar global demi tujuan komersial, menerusi kempen "Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit"," kata kenyataan itu.

Menerusi Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) juga, usaha dilakukan termasuk pembangunan Santuari Hidupan Liar Gajah Borneo untuk menangani konflik manusia-gajah.

Ia khusus bagi mewujudkan kawasan perlindungan akses awam terkawal untuk lebih memahami dan menjaga haiwan berkenaan.

“KPPK turut menyokong Inisiatif ‘Heart of Borneo’, sebuah program unik yang diterajui kerajaan dan disokong badan bukan kerajaan yang bermula sejak deklarasi bersama oleh kerajaan Brunei, Indonesia dan Malaysia pada 2007,” tambah kenyataan itu.

Pada 2021 juga, Malaysia turut mengambil bahagian dalam Deklarasi Pemimpin Mengenai Hutan dan Penggunaan Tanah dan Ikrar Metana Global yang dimeterai di Glasgow.

Dalam kenyataan sama, Datuk Zuraida juga menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pekerja ladang sawit yang maut dipijak gajah liar di Temerloh baru-baru ini.


(FOTO BERNAMA)

Media Baharu