fb fb fb fb fb

KPM tumpu usaha tingkat kecekapan guru bimbing pelajar guna AI

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meluangkan masa melawat Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE)

KANGAR, 24 Mei- Kementerian Pendidikan (KPM) memberi tumpuan dalam usaha meningkatkan kecekapan guru bagi memastikan golongan pendidik kompeten untuk membimbing pelajar dalam penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, selepas pelancaran Dasar Pendidikan Digital (DPD), pelajar didapati mempunyai keupayaan cukup tinggi menerusi inovasi yang dilaksanakan khususnya dalam AI.

"Input yang kita dapat dan juga melihat kepada inovasi yang dilaksanakan oleh anak-anak murid kita, memang anak-anak kita mempunyai keupayaan yang cukup tinggi khusus dalam AI ini.

"Kita kita harus terus membimbing mereka sebab itu, dalam aspirasi kita, guru-guru mestilah kompeten, sebab itu kita memberi tumpuan dalam kompetensi dan latihan guru kita untuk memandu anak-anak murid kita khusus dalam AI", katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) (P) Al-Alawiyah di Kangar, Perlis.

Tambah beliau, pelajar di kawasan kampung juga akan menjadi sebahagian komuniti digital memandangkan kementeriannya antara lain telah mengupayakan pusat kegiatan guru, selain terdapat pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).

Dalam pada itu, beliau meluangkan masa melawat Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE).

FCoEE baru sahaja melancarkan Penubuhan Kelab AI Robotic Education (AiRED) dalam usaha memastikan para pelajar di Perlis tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi.

Menurut Pengerusi FCoEE, Prof. Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin, ketika ini lapan buah sekolah menengah terpilih sebagai perintis terhadap latihan dan penguasaan terhadap teknologi AI dan robotik melibatkan penyertaan 160 pelajar Tingkatan 2.

Selain itu, FCoEE dengan kerjasama UniMAP dan IDERIA Sdn Bhd telah melatih 32 orang guru daripada 15 buah sekolah menengah dan 7 buah sekolah rendah seluruh Perlis sebagai tenaga pengajar yang akan melaksanakan modul pembelajaran Ai dan robotik.

Bersempena lawatan ini, Fadhlina diberi penerangan dan demontrasi pembangunan Ai dan Robotik dari pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Perempuan Alawiyah, Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Sheikh Ahmad dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

ROSLINA BINTI DIN