MELAKA, 17 Mei- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM2.64 juta untuk 20 rumah ibadat bukan Islam (RIBI) di Melaka.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, sumbangan bantuan kewangan itu adalah bersempena inisiatif penyelenggaraan RIBI seluruh negara.
Katanya, menerusi bantuan berkenaan, rumah ibadat ini dapat menaik taraf dan menyelenggara bagi memberi persekitaran yang selesa kepada pengunjung.
"Untuk menyampaikan bantuan kepada rumah ibadat bukan Islam di Negeri Melaka sebanyak RM2.64 juta dan saya anggap jumlah yang paling besar dalam sejarah Melaka, 20 rumah ibadat dan telah pun semua disampaikan dan semua pembayaran akan dilakukan dalam bulan ini", katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan (RIBI) di Aw Hai Thian Chinese Temple, Melaka.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib dan Exco Kanan Perumahan dan Kerajaan Tempatan Melaka, Datuk Rais Yasin.
Mengulas lanjut, setakat 15 Mei lalu sebanyak 254 permohonan bantuan kewangan RIBI seluruh negara dengan jumlah sebanyak RM26.86 juta.