fb fb fb fb fb

KPKT kenal pasti maklumat, bantu penduduk terjejas banjir

KPKT sedang mengenal pasti kerosakan atau kemusnahan yang dialami penduduk terjejas banjir/FOTO FB Aiman Athirah

KOTA BAHRU, 28 Disember - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mendapatkan maklumat berhubung kerosakan rumah penduduk terjejas banjir.

Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya sedang mengenal pasti kerosakan atau kemusnahan yang dialami dalam masa terdekat.

"Prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan untuk mengenal pasti kerosakan tersebut tidak berubah dan sama seperti tahun sebelum ini.

"Sebaik memperoleh maklumat, penilaian akan dibuat sebelum bantuan disalurkan.

"Kita akan mendapatkan maklumat keseluruhannya dan barulah pihak KPKT akan mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja dan taklimat berkaitan banjir di Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat negeri di Tunjong, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) (Operasi), Datuk Nor Hisham Mohamad dan Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin.

Dalam perkembangan sama, Aiman berkata, JBPM kini menggerakkan seramai 495 pegawai dan anggota dari Pasukan Gerak Cepat (Red Team) bagi penugasan membantu penduduk terjejas banjir.

GRACE AISYAH KEDAYAN