fb fb fb fb fb

KPDN rampas 2,505 barang tiruan di Jalan Petaling

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 21 Julai - Op Putra 3.0 yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyita sebanyak 2,505 pelbagai barangan tiruan yang dijual di Jalan Petaling.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata serbuan membabitkan sembilan premis iaitu gerai, kedai dan stor yang dijadikan tempat menyimpan pelbagai barang tiruan terdiri daripada jam tangan, beg tangan, dompet, gelang dan cincin.

(Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin (tengah) ketika sidang media
di Stor KPDN Segambut / FOTO BERNAMA)

"Kesemua 2,505 unit barangan ini telah dirampas membabitkan nilai kira-kira RM250,000. Barangan ini berkualiti tinggi dan harga jualan bermula RM400 hingga RM4,000 seunit. Berdasarkan maklumat yang diperoleh seutas jam tangan tiruan berjenama ini boleh dijual dengan harga RM750 hingga RM4,000," katanya pada sidang media di stor Segambut KPDN KL, di sini.

Tambah Ariffin, operasi yang dilakukan pada 18 Julai itu turut menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan disyaki pemilik premis untuk membantu siasatan.

Katanya, tindakan akan diambil mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2011.

Media Baharu