fb fb fb fb fb

KPDN komited percepat proses Kad Diskaun Khas Menu Rahmah

Fuziah Salleh

NILAI, 29 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited dalam mempercepatkan proses permohonan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata, kira-kira 2,800 permohonan telah diterima selepas pendaftaran mula dibuka pada 2 November tahun lalu.

"2,800 yang daftar pada awal, jadi sebelum ini menu rahmah. Kad diskaun itu ada cuma mereka kena mendaftar semula.

"Jadi mereka kena mendaftar mungkin melambatkan proses jadi sekarang ini kita automatik yang 2,800 tu dan yang baru kita juga akan percepatkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Sesi Penyerahan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini.

Fuziah juga menggalakkan pengusaha makanan untuk menyertai Program Menu Rahmah bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat menikmati makanan pada harga berpatutan.

Dalam pada itu, pemegang Kad Diskaun Khas Menu Rahmah boleh mendapatkan barangan dengan diskaun sebanyak 40 peratus di tujuh buah pasar raya terpilih di seluruh negara.

Negeri Sembilan merekodkan seramai 108 permohonan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah diterima.

Pengusaha Menu Rahmah Suzana Hanum Ibrahi yang ditemui pemberita berkata, menu Rahmah ini dapat dikekalkan.

"Saya amat mengharapkan kerajaan melaksanakan Menu Rahmah ini sampai bila-bila. Bagi peniaga macam saya ia boleh digunakan untuk menderma selain membantu pelajar untuk berjimat.

"Di sini juga merupakan kawasan pelajar. Jadi saya boleh membantu pelajar ini," katanya.

Sementara itu bagi pelajar Wan Daniel Fahrin Wan Khairul Anuar, menu berkenaan boleh menjimatkan perbelanjaan harian.

"Pada pandangan saya ia sangat membantu para pelajar kerana kami memang inginkan kedai yang menjual dengan harga murah untuk menjimatkan perbelanjaan."

"Dengan Menu Rahmah ini, ia boleh membantu ramai pelajar di sini," katanya.

Siti Humaira Ismail yang juga merupakan pelajar berpendapat, pengenalan menu itu perlu diperluas dan diperbanyakkan di kawasan yang mempunyai ramai pelajar.

"Harapan saya supaya Menu Rahmah ini diteruskan dan diperbanyakkan di kawasan yang mempunyai ramai pelajar.

"..sebab ia boleh membantu ramai pelajar-pelajar, dan tidak semua pelajar berkemampuan untuk mendapatkan makanan yang murah dan seimbang. Ini amat membantu kepada golongan pelajar," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI