fb fb fb fb fb

Kota Tinggi berpotensi jadi hab pengeluaran halia premium

Majlis Perasmian Tuaian Halia Bentong Muda di Parlimen Kota Tinggi di Kampung Gembut, Tanjung Sedili / Foto BERNAMA

KOTA TINGGI, 21 Jun - Potensi Halia Bentong Muda perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat di Kota Tinggi bagi menembusi pasaran antarabangsa terutama melibatkan produk hiliran.

Ciri-ciri unik Halia Bentong Muda seperti rasa pedas, aroma kuat dan rizom kurang serat dapat menarik minat pengguna luar negara untuk membeli halia tersebut pada harga tinggi.

Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata projek penanaman Halia Bentong Integrasi Sawit di Kota Tinggi telah dimanfaatkan melibatkan 36 peserta perintis dari 10 kawasan penanaman di Tanjung Sedili dan dua koperasi di Teluk Ramunia.

"Projek itu penting dalam menggerakkan usaha transformasi sektor pertanian di daerah itu seterusnya menuju ke sasaran sekaligus menjadikan Kota Tinggi sebagai hab pengeluaran halia premium negara," katanya.

Jelas beliau, harganya juga sangat lumayan untuk diusahakan.

"Harganya sangat tinggi. Satu kilogram (kg) ialah RM40. Satu pokok boleh menghasilkan 2kg. Di sini terdapat 300 pokok. Proses penuaiannya pada setiap enam bulan. Jadi untuk 300 pokok, peserta boleh mendapat RM24,000 dalam tempoh enam bulan iaitu hampir RM4,000 sebulan.

"Projek tersebut dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan, selain menjana pendapatan tambahan kepada para petani, dan mengangkat martabat komuniti luar bandar untuk terus berdikari," jelas beliau ketika majlis perasmian tuaian Halia Bentong Muda di Kampung Gembut, Tanjung Sedili di sini.

Ketika ini, permintaan halia untuk kegunaan domestik melangkaui keupayaan pembekalan, memaksa Malaysia mengimport 86.5 peratus halia pada 2022 hingga 2023.

NORAINI BINTI WAHIB