Konsert Suaramu Syairku serlah bakat luar biasa OKU penglihatan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Sambutan Ulang Tahun ke-75 Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) diraikan penuh bermakna menerusi penganjuran Konsert Suaramu Syairku yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konsert mengetengahkan bakat luar biasa OKU penglihatan serta mesej bahawa bakat dan impian tidak dibatasi kehilangan pancaindera.
  • Persembahan termasuk Caliph Buskers, Pasukan Koir MAB serta penyanyi Ernie Zakri dan Haqiem Rusli yang menyentuh hati.
  • Natalia Lee Jia En, 13 tahun, memukau dengan persembahan piano dan meraih tempat ketiga Hong Kong International Music Festival.
  • RTM bekerjasama dengan MAB memperkukuh agenda penyiaran inklusif bagi memastikan bakat OKU terus diketengahkan kepada masyarakat.

Konsert bertemakan “Sebuah Simfoni Inspirasi, Sejuta Harapan” itu menghimpunkan bakat warga orang kurang upaya (OKU) penglihatan bersama artis tanah air menerusi persembahan yang menyentuh hati.

Dianjurkan dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM), pentas ini mengetengahkan bakat luar biasa golongan berkenaan yang turut membawa mesej bahawa bakat, potensi dan impian seseorang tidak pernah dibatasi oleh ‘kehilangan’ pancaindera.

Antara yang membuat persembahan ialah kumpulan Caliph Buskers serta Pasukan Koir MAB termasuk diserikan dengan kehadiran penyanyi Ernie Zakri dan Haqiem Rusli.

Turut mencuri tumpuan, persembahan piano daripada Natalia Lee Jia En, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak.

Mula bermain piano sejak usia tiga tahun, Natalia telah mengharumkan nama negara setelah meraih tempat ketiga pada Edisi Ke-11 Hong Kong International Music Festival.

“Saya sangat bersemangat untuk bermain piano sebab seronok untuk mendengar dan menghayati lagu. Saya harap OKU lain tidak menjadikan kekurangan diri untuk berputus asa dan sentiasa berusaha untuk capai impian,” ujarnya.

Selain Natalia, kumpulan Setapak Ukulele Krew yang dianggotai lima murid OKU penglihatan dari SMK Pendidikan Khas Setapak juga berjaya memukau lebih 800 hadirin.

Dalam pada itu, Presiden MAB, Tan Sri Tengku Azlan ibni Almarhum Sultan Abu Bakar menyifatkan individu OKU penglihatan mempunyai keupayaan setanding dengan masyarakat lain dan hanya memerlukan ruang untuk menyerlahkan bakat mereka.

“Kemampuan mereka ini boleh dikatakan hampir sama dengan orang yang sempurna. Konsert ini membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka juga mempunyai keupayaan untuk menunjukkan bakat mereka tanpa batasan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata kerjasama strategik antara RTM dan MAB sebagai usaha memperkukuh agenda penyiaran yang lebih inklusif.

“RTM komited memperbanyak program dan aktiviti jangkauan komuniti bagi memastikan bakat golongan OKU terus diketengahkan kepada masyarakat,” jelas beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.