
KUALA LUMPUR, 14 Mac – Kerajaan akan terus bekerjasama rapat dengan pemain industri, agensi pengawal selia serta rakan perdagangan antarabangsa bagi memastikan kelancaran eksport komoditi negara.
- Kementerian memantau rapat konflik dan impak terhadap perdagangan serta pasaran komoditi global.
- Tekanan pada rantaian bekalan (tenaga, perkapalan, logistik) menaikkan kos dan berpotensi ganggu operasi eksport walaupun kini berjalan biasa.
- Kementerian perkukuh daya tahan melalui kepelbagaian pasaran, peningkatan produktiviti dan pengukuhan nilai tambah produk komoditi Malaysia.
Langkah itu bagi memastikan kestabilan rantaian bekalan komoditi negara susulan perkembangan konflik geopolitik di Asia Barat.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata kementerian memantau secara rapat perkembangan semasa serta potensi kesannya terhadap perdagangan dan pasaran komoditi global.
“Perkembangan semasa telah memberi tekanan kepada rantaian bekalan global, khususnya melibatkan sektor tenaga, perkapalan dan logistik. ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata ketegangan di rantau berkenaan turut menyumbang kepada kenaikan harga tenaga dunia yang secara tidak langsung mempengaruhi harga komoditi termasuk minyak sawit.
Menurut beliau, berdasarkan penilaian semasa kementerian bersama agensi berkaitan, eksport komoditi utama negara seperti minyak sawit, getah, lada, koko dan produk berasaskan kayu masih berjalan seperti biasa.
Bagaimanapun katanya, sekiranya konflik berpanjangan, kos logistik, pengangkutan serta insurans perkapalan dijangka meningkat dan berpotensi memberi kesan kepada kos operasi industri.
“Pada masa yang sama, peningkatan harga tenaga global juga berpotensi menyokong permintaan terhadap komoditi berasaskan bio seperti minyak sawit, terutamanya dalam sektor biofuel, yang boleh memberi kesan positif kepada harga komoditi tersebut di pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata kementerian akan terus memperkukuh daya tahan sektor perladangan dan komoditi melalui strategi kepelbagaian pasaran, peningkatan produktiviti serta pengukuhan nilai tambah produk komoditi Malaysia.