fb fb fb fb fb

Komuniti Cina Perak berpeluang bakar lemang

IPOH, 24 April- Seramai 209 komuniti Cina di Perak merasai pengalaman membakar lemang ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya Ipoh.

Program anjuran bersama Ipoh 'Parenting Activities' tersebut bertemakan Perpaduan Kaum Malaysia Madani.

Menurut wakil penganjur, Vinz Leong program pertama kali dianjurkan komuniti itu bertujuan merasai sendiri suasana beraya bersama anggota bomba yang bertugas.

"Saya hendak rasa orang Melayu macam mana mereka meraikan Aidilfitri. Jadi kami pun ada buat demo lemang, sebab kami hendak faham lebih lagi tentang orang Melayu dan hari raya."

Bagi Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya Sharudi Muhammad Halil, "antara program yang kita buat adalah menyediakan lemang. Jadi kita minta pengunjung dan peserta untuk mengisi lemang tersebut secara tradisional dan kemudian akan membakarnya.

"Selain itu juga kita adakan kempen keselamatan kebakaran bersama pengunjung."

Selain kempen keselamatan dan menikmati pelbagai juadah istimewa Ailfitri, golongan kanak-kanak turut diberi peluang merasai pengalaman menjadi anggota bomba.

Mereka dipakaikan uniform celoreng, dibawa menaiki kereta bomba dan melihat semua aset milik jabatan itu.

Sementara itu, Pengarah JBPM Negeri Azmi Osman berkata program seumpama ini sememangnya amat dialu-alukan kerana dapat mendekatkan jabatan dengan masyarakat setempat.

"Jadi apabila adanya dua gabungan antara golongan masyarakat dan anggota bomba kami yakin penerapan semangat Malaysia Madani dan juga penerapan yang berkaitan perkauman akan kukuh," katanya di sini.

Pada program tersebut turut disampaikan kuih raya kepada anggota bertugas.

(Azmi Osman)

Media Baharu