KANGAR, 20 Mei - Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis kini dimasyhurkan sebagai Kompleks Seri Putra, bersempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-82 dan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Pemasyhuran nama baharu itu adalah bersempena dengan nama ayahanda baginda, Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, Almarhum ayahanda merupakan Raja Perlis pertama di atas takhta pemerintahan semenjak penggubalan Perlembagaan Negeri iaitu Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis pada 1 Februari 1948 bersamaan kelahiran Persekutuan Tanah Melayu.
Sehingga hari ini, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang siap disempurnakan pada 26 Mac 1959 masih diguna pakai hasil kebijaksanaan dan warisan pemerintahan Almarhum baginda.
"Di bawah pemerintahan Almarhum Tuanku Syed Putra, Dewan Undangan Negeri Perlis mulai terbentuk setelah Pilihanraya Majlis Perundangan Negeri diadakan pada 24 September 1955 dengan peruntukan sembilan kerusi," titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Demikian titah baginda yang disampaikan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika Pemasyhuran Nama Baharu Kompleks Dewan Undangan Negeri yang berlangsung serentak dengan Majlis Jamuan Teh Rakyat di perkarangan kompleks berkenaan.
"Kompleks Seri Putra diharap dapat dijadikan sebagai tempat berunding, berbahas dengan berhemah, bijaksana dan menggubal perundangan yang adil demi kesejahteraan rakyat negeri ini," titah baginda.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda sulung baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.