fb fb fb fb fb

Kompaun kesalahan merokok bernilai RM1.6 juta pada Mei - KKM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 14 Jun- Sebanyak 6,605 kompaun bernilai RM1.6 juta dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang Mei lalu atas kesalahan merokok.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan berkata, 16,355 notis kesalahan dikeluarkan daripada 29,098 premis yang dilawati melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Sementara itu, bagi tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 yang bertujuan mencegah dan mengawal penyakit demam denggi, Dr Muhammad Radzi berkata 2,778 kompaun bernilai RM1.4 juta dikeluarkan dengan purata RM500 bagi setiap kompaun.

"Sejumlah 551 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa sama, 71 kes telah disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM151,600. Terdapat satu kes dipenjara 10 hari oleh mahkamah kerana gagal membayar denda," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata 8,587 premis makanan diperiksa pada bulan lepas dengan 225 premis diarah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Bagaimanapun KKM menguatkuasakan tindakan penutupan sementara sebagai langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI