fb fb fb fb fb

Kolaborasi sektor swasta, kerajaan negeri digalakkan untuk Program Imunisasi Influenza Kebangsaan

Foto hiasan

KULIM, 9 Februari- Pihak sektor swasta dan kerajaan negeri digalakkan berkolaborasi dalam menjayakan Program Imunisasi Influenza Kebangsaan bagi warga emas akan dilaksanakan bermula 18 Februari ini.
 
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata program berkenaan melibatkan seramai 170,000 penerima di seluruh negara.

"Saya memang menggalakkan mana-mana sektor swasta ataupun kerajaan negeri yang ingin berkolaborasi dalam program ini. Sebagai contoh ketika COVID-19 kerajaan negeri seperti Selangor, Sarawak berusaha sendiri untuk menambah bilangan vaksinasi ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kedah Sejahtera 2025 sempena perasmian Wellness Hub Kulim dan Penyerahan Kunci Pusat Rekod Perubatan Zon Utara di perkarangan Wellness Hub Kulim, di sini.

Dalam pada itu janji temu bagi mendapatkan suntikan berkenaan boleh dibuat menerusi aplikasi MySejahtera bermula 14 Februari ini.
 
Suntikan tersebut terbuka kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas dan ia boleh dilakukan di lokasi atau klinik terpilih.
 
Warga emas digalakkan untuk menerima suntikan tersebut diambil oleh mereka yang terlibat bagi kesejahteraan diri masing-masing dan jumlah vaksin tersebut adalah terhad.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI