KL perlukan peruntukan lebih besar selenggara jalan – Hannah Yeoh

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh. /Bahan RTM

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Peruntukan penyelenggaraan jalan di Kuala Lumpur perlu ditingkatkan bagi memastikan kerja penurapan dan pembaikan dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.

RINGKASAN BERITA AI
  • DBKL menerima kira-kira RM33 juta setahun, lebih rendah berbanding negeri lain yang mendapat peruntukan melalui MARRIS.
  • Hannah Yeoh memohon kerajaan Persekutuan meningkatkan geran penyelenggaraan disebabkan lebih satu juta kenderaan masuk Kuala Lumpur setiap hari.
  • DBKL jalankan penurapan menyeluruh di 51 kawasan PA dan PPR seliaan buat pertama kali, melibatkan 11 kawasan Parlimen.
  • Peruntukan RM300 juta tahun ini bagi kerja penyelenggaraan PA dan PPR; tujuh lokasi telah siap, beberapa lokasi sedang dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini hanya menerima kira-kira RM33 juta setahun, berbanding negeri lain yang mendapat peruntukan melalui Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

“Saya telah memohon kepada kerajaan Persekutuan supaya meningkatkan geran penyelenggaraan jalan kepada DBKL kerana jumlah kenderaan yang memasuki Kuala Lumpur setiap hari melebihi satu juta, sekali gus meningkatkan keperluan penyelenggaraan jalan di ibu negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media projek penyelenggaraan Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seliaan DBKL di Perumahan Awam Hang Tuah, di sini, hari ini.

Menurut beliau, keperluan itu penting bagi memastikan keadaan jalan raya di ibu negara sentiasa berada pada tahap selamat dan selesa untuk pengguna.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melaksanakan kerja penurapan jalan secara menyeluruh di 51 kawasan PA dan PPR seliaannya buat pertama kali.

“Kerja penurapan jalan ini akan dilaksanakan di kesemua 51 kawasan PA dan PPR seliaan DBKL yang melibatkan 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur.

“Inisiatif ini mencatat sejarah apabila buat pertama kali penurapan jalan di kawasan PA dan PPR dilaksanakan secara menyeluruh melalui projek berskala besar oleh DBKL,” katanya.

Sebanyak RM300 juta diperuntukkan tahun ini bagi kerja penyelenggaraan PA dan PPR termasuk penurapan jalan, sebagai usaha memastikan kebajikan penghuni serta kualiti kemudahan di kawasan berkenaan terus terpelihara.

Setakat suku pertama tahun ini, kerja penurapan jalan telah siap di tujuh lokasi, iaitu PPR Beringin, PPR Wahyu, PPR Gombak Setia, PPR Hiliran Ampang, PPR Air Panas, PA Hang Tuah dan PA Seri Perlis 1.

Manakala PPR Sungai Bonus serta PPR Seri Malaysia kini dalam pelaksanaan.