KUALA LUMPUR, 13 Januari - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bercadang menggunakan teknologi satelit sebagai penambahbaikan sistem komunikasi terutama ketika berdepan situasi bencana.
Timbalan Menteri KKMM, Datuk Zahidi Zainul Abidin memaklumkan, ia bagi mengelak gangguan rangkaian telekomunikasi seperti yang dialami ketika banjir besar melanda negara baru-baru ini.
Tambahnya, penggunaan teknologi satelit rangkaian 5G dapat membantu dalam mengurus situasi bencana alam seperti menghantar amaran awal bencana kepada orang awam.
"Kita lihat bila berlaku banjir, capaian menara telekomuniksi terjejas kerana elektrik tiada. Panggilan tidak dapat dilakukan."
"Solusinya, kita mahu adakan satelit. Kalau boleh kerajaan bincang dengan negara yang ada (teknologi) satelit termasuk satelit 5G. Ini adalah perancangan KKMM," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn, di sini malam ini.
Menurut beliau lagi, kos penggunaan teknologi satelit lebih rendah selain tempoh untuk melaksanakannya singkat iaitu selama lapan bulan.