
KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kementerian Kesihatan (KKM) memperkukuh kapasiti rawatan jantung bagi mengurangkan tempoh menunggu pesakit melalui penambahan makmal invasif kardiologi (ICL), menaik taraf fasiliti serta pengukuhan tenaga pakar.
- Penambahan makmal invasif kardiologi di beberapa hospital untuk kurangkan tempoh menunggu pesakit.
- Peningkatan fasiliti termasuk penggantian peralatan ICL dan naik taraf dewan bedah kardiotorasik.
- Peningkatan latihan subkepakaran kardiologi kepada 40 pakar setahun, sasaran 200 pakar menjelang 2030.
- Percepatan rujukan kes kritikal ke Institut Jantung Negara dan hospital lain untuk akses rawatan lebih cepat.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, makmal berkenaan sedang dibina di Hospital Melaka, Hospital Miri, Hospital Sibu dan Hospital Tawau yang bakal beroperasi pada 2027, manakala dua lagi akan ditambah di Hospital Sultan Idris Shah menjelang 2028.
Jelas beliau, KKM turut menggandakan slot latihan subkepakaran kardiologi kepada 40 pakar setahun dengan sasaran 200 pakar menjelang 2030, selain melahirkan lebih ramai pakar bedah kardiotorasik melalui laluan Parallel Pathway.
“Penggantian peralatan ICL di 10 hospital dengan perkhidmatan kardiologi sedia ada bermula RP3 RMK-12 dan diteruskan sehingga tahun semasa, termasuk naik taraf dewan bedah kardiotorasik, penyelarasan pengoperasian unit rawatan rapi jantung (CICU), serta perolehan penggantian peralatan berteknologi tinggi,” katanya.
Beliau berkata, kes jantung terus disumberluarkan kepada Institut Jantung Negara Sdn Bhd dan hospital lain mempercepat akses rawatan kritikal.
Langkah menyeluruh itu dijangka meningkatkan kapasiti rawatan dan mempercepat perkhidmatan kepada pesakit jantung di seluruh negara.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar berhubung tindakan kerajaan mengatasi masalah tempoh menunggu yang lama bagi pesakit jantung melaksanakan Angiogram dan Bypass di Dewan Negara hari ini.