fb fb fb fb fb

KKM perjelas fungsi Institut Kesihatan Mental

KUALA LUMPUR, 19 September - Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan Institusi Kesihatan Mental adalah untuk memberikan perkhidmatan tertiari iaitu rawatan dan pemulihan pesakit psikiatri di hospital, kata Menterinya Dr Zaliha Mustafa.

Menurut Zaliha, KKM kini mempunyai 4 buah Institusi Mental dan 61 buah hospital yang menyediakan perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental yang diketuai oleh Pakar Perubatan Psikiatari.

"KKM juga telah mengintegrasikan perkhidmatan kesihatan mental di peringkat primer melalui perkhidmatan di 1,080 klinik kesihatan seluruh negara," katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Katanya, institut Kesihatan Mental merujuk kepada bangunan kekal yang akan menempatkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) yang kini beroperasi di sebuah bangunan sewa di Cyberjaya.

"Pusat Kecemerlangan ini berfungsi sebagai agensi peneraju yang merancang, menyelaras, melaksana dan memantau perkhidmatan serta program kesihatan mental dalam aspek pencegahan dan advokasi, pembangunan modal insan, perkongsian sumber, penyelidikan, pemantauan dan survelan meliputi sektor awam, swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)," tambahnya.



Terdahulu, Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin telah membangkitkan mengenai Institut Kesihatan Mental yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga menyatakan peri pentingnya Institusi yang merawat penyakit mental seumpama National Institute of Mental Health di Amerika Syarikat yang diterajui oleh pakar-pakar neuro, psikiatrist dan pakar kesihatan mental.

Pada 10 September lalu, Perdana Menteri mengumumkan akan menubuhkan Institut Kesihatan Mental bagi menjamin usaha bersepadu antara kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil dalam menangani isu kesihatan mental.

Anwar berkata demikian ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12), di Dewan Rakyat.

Media Baharu