IPOH, 31 Mac- Pelbagai program sedang disusun Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerjasama kementerian lain dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan tegar dalam negara termasuk di Perak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelaksanaannya dibuat dengan mengambil kira landskap kependudukan serta faktor demografi yang terdapat di negeri itu.
Perkara mengenainya akan diumumkan kementerian berkenaan dari semasa ke semasa.
"Itu adalah kaedah konvensional yang telah dilakukan. Kita mahu lakukan sesuatu anjakan perubahan seperti yang saya sebutkan tadi.
Ini turut mengambil kira landskap kependudukan demografi di Perak dan juga pengenalpastian kawasan-kawasan desa dan pinggir bandar yang akan terus diberikan perhatian," kata Zahid selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Perak di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh yang dihadiri hampir 1,500 tetamu.
Pada majlis tersebut beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menaik taraf sekolah tersebut.
Ipoh merupakan lokasi ketujuh penganjuran Majlis Santunan Kasih Ramadan yang diadakan bertujuan merapatkan jalinan ukhwah di antara kementerian berkenaan dengan masyarakat.
(Foto FB Kementerian)