
DUNGUN, 26 Januari – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menawarkan 260 lot perniagaan di lima tapak Bazar Ramadan Rahmah dalam wilayahnya bersempena Ramadan tahun ini.
- KETENGAH menawarkan 260 lot perniagaan di lima tapak Bazar Ramadan Rahmah dalam wilayahnya.
- Harga sewa ditetapkan RM160 untuk lot berbumbung dan RM100 untuk lot terbuka sebulan.
- Permohonan dibuka kepada peniaga bumiputera berdaftar dengan tarikh tutup 4 Februari.
- KETENGAH sediakan infrastruktur, kebersihan dan nasihat harga berpatutan serta keselamatan.
Pengerusi KETENGAH, Datuk Rozi Mamat, berkata lima tapak bazar berkenaan ialah Bandar Al Muktafi Billah Shah dengan 60 lot, Bandar Bukit Besi (50 lot), Bandar Ketengah Jaya (50 lot), Bandar Seri Bandi (30 lot) dan Bandar Ceneh Baharu (70 lot).
Menurut beliau, harga sewa bagi satu unit lot berbumbung ditetapkan pada kadar RM160 sebulan, manakala lot terbuka dikenakan sewaan RM100 sebulan, yang disifatkan sebagai rendah dan berpatutan.
“Pihak KETENGAH menyediakan infrastruktur termasuk kanopi, tapak niaga serta kebersihan, selain memantau aspek keselamatan. Kita hanya mengenakan bayaran sewa bulanan sebanyak RM160 kepada penyewa.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Yayasan KETENGAH kepada lima pelajar dan seorang mangsa kebakaran di Bandar Bukit Besi, hari ini.
Datuk Rozi berkata lot bazar Ramadan itu ditawarkan kepada peniaga bumiputera dalam wilayah KETENGAH yang memiliki sijil pendaftaran perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, dengan tarikh tutup permohonan pada 4 Februari ini.
Beliau turut menasihatkan peniaga bazar Ramadan supaya menjual juadah berbuka puasa pada harga berpatutan memandangkan kadar sewaan lot yang rendah.
Selain itu, beliau mengingatkan peniaga agar bertanggungjawab memastikan kebersihan makanan dan minuman yang dijual sentiasa terjamin.
Dalam perkembangan lain, Datuk Rozi berkata Yayasan KETENGAH turut menyediakan bantuan pendidikan bagi membantu pelajar kurang berkemampuan dalam wilayah berkenaan, selain bantuan kepada individu yang ditimpa musibah atau bencana.
Sementara itu, beberapa penerima sumbangan pendidikan Yayasan KETENGAH melahirkan rasa syukur dan berterima kasih selepas terpilih menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,000.

Seorang penuntut Universiti Malaya, Muhamad Harith Fitri Rizwan, berkata sumbangan itu akan digunakan bagi keperluan pembelajaran dan sekali gus meringankan beban keluarganya.
“Saya akan menggunakan sumbangan ini untuk tujuan pembelajaran kerana bantuan seperti ini dapat meringankan beban saya dan keluarga.”
Seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris, Mohamad Danial Jazli Darus, turut berterima kasih kepada Yayasan KETENGAH dan memaklumkan bantuan berkenaan membantu menjelaskan sebahagian yuran pengajiannya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yayasan KETENGAH kerana bantuan ini sedikit sebanyak membantu membayar yuran pengajian dan perbelanjaan harian.”