
KUALA LUMPUR, 24 Februari – Aspek ketelusan perolehan, kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta kebajikan anggota terus diberi keutamaan bagi memastikan keselamatan dan pertahanan negara kekal terpelihara.
- Ketelusan proses perolehan mesti dipastikan bagi mengelakkan penyalahgunaan dan mengekalkan integriti pertahanan.
- Kesiapsiagaan ATM kekal keutamaan, dengan keputusan perolehan dibuat berhati-hati supaya operasi tidak terjejas.
- Kebajikan anggota termasuk penyediaan perumahan dipertingkat untuk memastikan kesejahteraan warga ATM.
Penekanan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM bersempena Program Ihya Ramadan Kementerian Pertahanan di Masjid Khalid Al Walid, Kampung Datuk Keramat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Perdana Menteri memberi penekanan supaya setiap proses perolehan dilaksanakan secara telus dan berhati-hati tanpa menjejaskan operasi serta kesiapsiagaan pasukan.
Menurut beliau, Perdana Menteri turut memahami keperluan operasi ATM yang perlu diteruskan dan sebarang keputusan termasuk pembekuan perolehan perlu dipertimbang secara cermat.
“Memberi penekanan kepada isu-isu yang berbangkit antaranya soal perolehan. Apa pun proses yang dilalui mestilah dilakukan secara telus,” katanya.
“Beliau juga memaklumkan bahawa Perdana Menteri memahami soal kesiagaan dan operasi yang perlu diteruskan, dan keputusan untuk membekukan perolehan perlulah dibuat secara berhati-hati supaya tidak menjejaskan operasi serta kesiapsiagaan,” katanya lagi.
Selain itu, kesiapsiagaan ATM turut ditegaskan sebagai satu kemestian berikutan perubahan geopolitik di peringkat rantau dan global.
Dalam pertemuan sama, kebajikan anggota tentera termasuk penyediaan perumahan turut diberi perhatian bagi meningkatkan kemudahan yang lebih selesa demi kesejahteraan warga ATM.
Program berkenaan menjadi platform membincangkan isu keselamatan, pertahanan dan kebajikan anggota secara menyeluruh.