KUALA TERENGGANU, 4 Januari- Kesiapsiagaan kerajaan dalam perkara berkait bencana dibantu kajian-kajian yang telah dilaksanakan oleh pihak universiti dalam mencari penyelesaian terbaik untuk mengurangkan kesan bencana termasuk pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB).
Perkara itu sekali gus membuktikan kerajaan memandang serius tentang kepentingan rakyat dalam menangani perkara itu.
Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi, Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Profesor Madya Dr Roshaiza Taha berkata, kerajaan juga memperuntukkan sebahagian kewangan untuk penambahbaikan prasarana.
"Dari segi kajian sebenarnya selepas 2014, kerajaan telah memberikan sejumlah besar dana kepada penyelidik untuk menjalankan kajian tentang kesan banjir, cara menangani banjir dan semua jenis berkaitan banjir.
"Sebenarnya kajian itu telah sepatutnya siap dijalankan dan ada satu pembentangan telah dilakukan. Saya fikir kajian-kajian yang dijalankan dahulu perlu dirujuk semula untuk mengambil dapatan untuk dilaksanakan," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu usaha RBT di negeri-negeri terkesan telah pun dilaksanakan secara berperingkat disokong kumpulan profesional sebelum membuat keputusan.